Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka. Ianya merupakan sebuah bangunan lama yang telah diubahsuai, kini dengan megahnya berdiri menghadap Padang Pahlawan, yang pernah mencatat sejarah kemenangan sebuah perjuangan
Photo by CEphoto, Uwe Aranas / CC-BY-SA-3.0, CC BY-SA 3.0 |
Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan
ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan
sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan
Inggeris. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke 28, pada 31 Ogos 1985, Memorial
Pengisytiharan Kemerdekaan telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Negara.
Penubuhan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bersesuaian
pada masa dan tempatnya sebagai memperingati detik-detik perjuangan ke arah mencapai
kemerdekaan, tambahan pula kedudukannya yang dikelilingi oleh tinggalan dan
kesan-kesan sejarah tanah air yang penting.
Memorial ini ditubuhkan untuk mengambil dokumen tentang
kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman
Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun
1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian,
teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan
bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai
kemerdekaan.
Pameran di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibahagikan kepada
beberapa bahagian mengikut urutan peristiwa atau kronologi. Ianya bermula
dengan penubuhan Kesultanan Melaka, zaman kejatuhan Kesultanan Melaka serta
beberapa siri perjuangan menentang penjajah termasuk perjuangan menentang
penjajah di tempatnlain seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah
dan Sarawak.
Ruang pameran terletak di kedua-dua tingkat bangunan dan
disusun mengikut urutan peristiwa. Di tingkat dua juga disediakan tayangan
filem yang berkaitan dengan perjuangan kea rah kemerdekaan seperti zaman
darurat dan juga tanaynag filem mengenai pengisytiharaan kemerdekaan Tanah
Melayu.
Sehingga kini Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terus
menjadi salah satu bangunan warisan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong
serta pelawat yang dating untuk mengetahui dengan lebih dekat perjuangan Negara
membebaskan diri dari penjajahan. Di dalam bangunan ini terpamer banyak
khazanah perjuangan bangsa untuk tatapan serta untuk dijadikan teladan generasi
kini dan juga akan datang.
Memorial ini di buka setiap hari Selasa hingga hari Ahad
(Isnin cuti kecuali cuti umum dan cuti sekolah) bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Bayaran masuk adalah percuma.
Memorial Pengistiharaan Kemerdekaan
Jalan Parameswara,
75000 Bandar Hilir,
Melaka Bandaraya Bersejarah.
No. Tel : 06-2841231 / 2841232
No. Faks : 06-2829730