By Chongkian - Own work, CC BY-SA 4.0, Link
Pantai yang terletak 10 km dari bandar Masjid Tanah dan 2 km
dari Kem Terendak ini merupakan pantai perkelahan yang terkenal di negeri
Melaka. Keadaan fizikal pantai yang landai dan pasir yang memutih serta angin
sepoi-sepoi bahasa ini merupakan persaingan utama pantai Port Dickson yang
terletak lebih kurang 70 km dari Masjid Tanah.
Pantai kegemaran ramai ini turut dilengkapi dengan pelbagai
kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau,
medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.
Pesisir pantainya yang luas di samping keindahan dan
keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya amat damai
dan permai.
Menara Kawalan Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
(JPAM) turut terdapat di sini bagi membantu orang ramai yang mengalami
kecemasan sewaktu mandi di Pantai Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak.
Sehubungan itu, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Padang Kemunting
dan Pantai Pengkalan Balak merupakan khazanah alam yang terus dipelihara dengan
baik.
Tidak kurang daripada 15 resort dan calet terdapat di tiga
lokasi tumpuan pelancong itu termasuk penginapan persendirian yang diusahakan
penduduk tempatan di sepanjang pantai tersebut.
Tarikan tiga lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar
negara itu sebenarnya memberi rahmat kepada penduduk tempatan meraih rezeki
tambahan.
Sumber: Utusan Malaysia Online